CAKNA SABAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Pada 20 November 2020 (Jumaat) saya telah menyertai satu Webinar Kesukarelawanan Kita Bantu Sabah Kolej Pendeta Za’ba Universiti Kebangsaan Malaysia. Webinar ini merupakan anjuran Biro Kesukarelawanan dan Khidmat Masyarakat Kolej Pendeta Za'ba Universiti Kebangsaan Malaysia. Panel pada kali ini ialah Encik Khairul Jamain pengasas pertubuhan Impactive Malaysia.
Peserta juga terdiri daripada universiti lain seperti Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia dan matrikulasi. Panel pada malam ini mempunyai rancangan Youtubenya sendiri dan salah seorang speaker ML Studios. Beliau juga seorang “backpacker” dan aktivis kesukarelawanan dan pengasas pertubuhan Impactive Malaysia. Beliau selalu terlibat dalam misi dan aktiviti kemasyarakatan. Antaranya ialah misi bencana Lombok, projek al-quran pulau ke pulau dan kutipan dana covid untuk penduduk di Semporna.
Pada tahun 2014, beliau mendapat anugerah Tokoh Belia Manjung di Perak. Beliau berpengalaman hidup bersama komuniti Bajau Laut di Sabah. Perjalanan beliau ke Sabah bermula pada tahun 2017, hampir tiga bulan mengelilingi Sabah. Bermula di Sandakan lalu ke Kinabatangan, seterusnya ke Lahad Datu dan Kunak. Di Kunak, beliau berkesempatan tinggal bersama komuniti Bajau Laut dan tinggal di sana hampir dua minggu.
Menurut Khairul Jamain, komuniti Bajau Laut tidak biasa dengan orang luar, kerana mereka menggunakan bahasa Bajau sebagai bahasa untuk berkomunikasi. Dalam komuniti Bajau Laut, orang-orang luar atau orang asing digelar milikan. Beliau berkongsi bahawa mengambil hampir masa seminggu untuk bercakap dengan penduduk di sana. Hal ini kerana mereka takut, bukannya tidak mahu untuk berkomunikasi. Panel bernasib baik kerana seorang penduduk di sana yang bernama Anita mula bercakap dengannya, jadi Anita menjadi orang tengah kepada panelis untuk berhubung dengan komuniti Bajau Laut.
Di samping itu, komuniti Bajau Laut merupakan satu anugerah yang perlu diambil kebaikan darinya. Ubi merupakan makanan utama komuniti Bajau Laut. Komuniti Bajau Laut Malaysia mahir untuk bercakap dengan Bahasa Melayu. Menurut panelis, terdapat 9 etnik Bajau. Antaranya ialah bajau Laut, bajau Darat dan bajau Ubian. Komuniti Bajau Laut kurang mendapat keprihatinan daripada orang luar.
Panelis ditanya berkenaan perasaan ‘homesick’ ketika mengembara. Katanya: “Apabila di Malaysia tiada masalah berkenaan ‘homesick’ kerana semua berbahasa Malaysia. Beliau menambah, faktor untuk pengembara untuk pergi ke kawasan komuniti tersebut ialah suka kepada masyarakat di pedalaman. Perkara tersebut menyebabkan perlunya pemerhatian daripada diri sendiri tentang masyarakat di sana. Panelis tidak suka berpegang kepada persepsi yang telah berlegar dalam fikiran masyarakat semata-mata.
Antara isu komuniti Bajau Laut ialah isu pendidikan. Isu pendidikan menjadi isu utama, semua bangsa perlukan pendidikan. Pertubuhan yang diasas olehnya sedang merancang untuk merangka satu modul pendidikan khusus untuk komuniti Bajau Laut. Mereka ditindas dari segi pendidikan, perubatan dan kesihatan dan juga perbankan. Menurut Khairul Jamain, kita tidak boleh menggunakan sekolah sedia ada kerana persepsi mereka berbeza dengan masyarakat biasa.
Selain itu majlis perkahwinan mereka diadakan di pulau. Terdapat satu tradisi yang dipanggil mengalai iaitu perbuatan meletakkan duit di jari. Terdapat juga tarian dan muzik-muzik tradisional. Majlis perkahwinan komuniti Bajau Laut diadakan sehingga waktu malam. Tambahan lagi, masyarakat ini mahir dalam teknik selaman di dalam air. Mereka mempunyai teknik-teknik yang baik untuk membolehkan mereka menyelam di dalam lautan dengan masa yang lebih lama.
Seterusnya, panelis ditanya berkenaan asal penubuhan Impactive Malaysia. Katanya: “Berpengalaman melalui penglibatan dalam pertubuhan-pertubuhan lain”. Beliau banyak belajar tentang cara untuk berkomunikasi dengan masyarakat-masyarakat di luar. Beliau banyak mengutip pengalaman daripada pelbagai organisasi. Kata Khairul Jamain, Impactive Malaysia bercadang untuk membina sekolah. Mereka bercadang untuk menggunakan semula gudang-gudang terbiar di atas laut. Perbelanjaan menelan belanja lebih kurang 50 000 ringgit. Mengikut perancangan, mereka ingin memberi makanan percuma kepada pelajar-pelajar yang hadir ke sekolah. Juga sekolah ini dibina dua tingkat, tingkat atas untuk membantu ekonomi penduduk di sana dan di bawahnya ialah sekolah.
Penutup bicara, beliau berpesan bahawa generasi sekarang perlu mengadaptasi cara hidup yang berbeza berbanding zaman dahulu. Fleksibiliti dalam kehidupan perlu lebih difahami. Pengutamaan kepada nilai kemanusiaan adalah penting untuk generasi akan datang.
Panel juga diminta untuk menjawab soalan-soalan daripada peserta. Antara soalan yang dikemukakan ialah:
Soalan: Apakah persamaan komuniti di sana dengan kita di sini?
Jawapan: Persamaan komuniti dengan kita ialah mereka sesama manusia dengan kita. Dari segi kemanusiaan, mereka adalah sama dengan kita. Makan guna tangan adalah persamaan dan mereka banyak makan makanan laut.
Soalan: Apakah matlamat pembinaan sekolah khas di sana?
Jawapan: Sekolah khas komuniti laut untuk memberi pencerahan bahawa pendidikan merupakan aspek yang penting dalam kehidupan. Mereka perlu diberi kesedaran yang tinggi untuk bidang pendidikan.
Soalan: Setiap negara atau tempat yang saudara moderator pergi mesti mempunyai pengalaman dan kenangan, kongsikan
Jawapan: Memberi impsak besar kepada saya, contohnya di Kenya, sekolah seperti reban ayam dan belajar di pokok dan hanya menulis di tanah.
Juga terdapat beberapa perkongsian daripada saudara Khairul Jamain:
1. Antara warisan kebudayaan yang boleh diketengahkan di sana ialah: Lepau (perahu), makanan, tarian.
2. Pakar di laut, menombak ikan di lautan.
3. Makanan utama ialah makanan laut dan dimakan bersama ubi. Ubi sebagai makanan utama, nasi dikira makanan kedua.
4. Pulau susah untuk mendapatkan sumber air kerana bergantung kepada air hujan semata-mata.
5. Mereka tidak mempunyai kad pengenalan seperti kita, mereka tidak tahu bahawa kad pengenalan tersebut penting. Mereka tidak tahu bahawa pendidikan ini penting, jadi sebab itu wujud stereotaip bahawa pendidikan tidak penting.

Comments
Post a Comment