RIAK, KEBIASAAN YANG MEMAKAN DIRI
Zaman kini wujud ramai individu yang bersikap riak secara sedar mahupun tidak sedar. Dibuktikan lagi dengan wujudnya ‘group’ di laman facebook yang bertajuk riak apa hari ini. Perbuatan ini seakan-seakan menjadi satu keharusan atau kebiasaan masyarakat di Malaysia. Riak memakan diri manusia daripada pelbagai aspek.
Antara faktor yang menjadikan perbuatan riak ini suatu kebiasaan dalam masyarakat ialah masyarakat berlumba-lumba mengejar untuk dipandang mulia oleh masyarakat lain. Masyarakat sangat memandang mulia golongan kaya, golongan yang suka bersedekah, golongan berilmu dan juga golongan ahli ibadah. Maka, akan terhasilnya individu bersifat riak ekoran daripada terlalu mengejar untuk dipandang mulia oleh masyarakat lain. Menjadikan segala amalan yang mereka lakukan ini adalah untuk dipandang mulia oleh masyarakat semata-mata.
Perkembangan teknologi pada hari ini juga menjadi faktor perbuatan riak semakin berleluasa. Setiap perkara kebaikan yang dilakukan oleh individu, telah menjadi kewajipan untuk ditayang atau dipapar di akaun media sosial masing-masing. Akhirnya, niat ikhlas melakukan kebaikan telah dipengaruhi perasaan riak disebabkan mendapat pujian netizen-netizen di media sosial yang menyenangkan hati. Hasilnya, perbuatan baik itu dibuat atas dasar ingin mendapat pujian daripada pengguna-pengguna media sosial semata-mata.
Berkenaan dengan isu riak yang semakin menjadi kebiasaan dalam masyarakat, berkait dengan satu hadis daripada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu memohon perlindungan Allah daripada Jubb al-Huzn”. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah itu Jubb al-Huzn?” Nabi SAW menjawab: “Satu lembah di neraka Jahanam di mana neraka Jahanam turut memohon perlindungan Allah daripadanya setiap hari 400 kali.”Rasulullah SAW ditanya lagi: “Siapakah yang bakal memasukinya?” Nabi SAW menjawab: “Ia disediakan Allah bagi pembaca al-Quran yang riyak dengan amalan-amalan mereka dan sesungguhnya mereka paling dimurkai Allah ialah yang mendatangi para pemerintah (iaitu pemerintah yang zalim dan dengan tujuan mencari hasil duniawi dengan menggadaikan ayat-ayat Allah).
Riak mendatangkan keburukan kepada individu Muslim, perbuatan yang dilakukan atas dasar riak, tidak mendapat ganjaran pahala di sisi Allah. Menjadikan individu tersebut muflis pada hari timbangan amalan soleh yang dilaksanakan sepanjang hidup di dunia. Di dunia, individu tersebut tidak dapat melihat kerugian yang akan mereka alami, tetapi di akhirat kelak, pastinya mereka akan menyesali perbuatan riak mereka di dunia dahulu.
Perbuatan riak merupakan perbuatan yang salah di sisi Islam. Riak memakan diri manusia dengan setiap amalan yang dilaksanakan, tidak bernilai di sisi Allah. Segala amal kebajikan tersebut menjadi sia-sia disebabkan wujudnya perasaan riak dalam diri. Rasulullah SAW juga bersabda, mafhumnya: Riak tergolong dalam perbuatan syirik kecil.

Comments
Post a Comment